Pegawai kanan polis kontinjen KL ditahan SPRM selepas disyaki melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya tohmahan kononnya dua pegawai kanannya merupakan dalang dalam isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan syarikat-syarikat korporat.

Katanya, kedua-dua pegawai SPRM tersebut telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan mereka seterusnya membuat laporan polis untuk menyangkal tohmahan tersebut.

“SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan kepada pegawai SPRM bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini.

“Namun, sekiranya wujudnya bukti, pihak berkaitan harus tampil membuat aduan atau laporan kepada pihak penguat kuasa dan bukan membuat tohmahan menerusi media sosial yang berselindung di sebalik identiti palsu,” kata SPRM dalam satu kenyataan di sini.

Ia mengulas tohmahan sebuah blog beridentiti palsu kononnya dua pegawai kanan Suruhanjaya menjadi dalang dalam isu rasuah dan salah guna kuasa dalam syarikat-syarikat korporat.

SPRM juga menegaskan bahawa pihaknya tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta yang kukuh.

Tambah SPRM, setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

“Seterusnya, mengikut prinsip pengasingan kuasa, Pejabat Peguam Negara berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan hanya kes-kes yang mempunyai bukti dan fakta kukuh diberikan izin untuk mendakwa mengikut budi bicaranya.

“Dalam pada itu juga, SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan oleh mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka,” tegas SPRM lagi.- MalaysiaGazette