Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Malang buat seorang pesara kerani apabila kerugian hampir RM200,000 akibat terpedaya ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai peguam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku apabila mangsa wanita berusia 50-an  menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai peguam bernama Faridah pada 8.30 malam pada 21 Disember lalu.

Menurutnya, individu itu menyatakan pengadu disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram sebelum kononnya disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor bagi membuat aduan.

“Mangsa diberitahu dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta terdapat waran tangkap atas nama namanya walaupun mangsa menafikan terlibat dalam kes berkenaan.

“Pengadu kemudian diminta untuk memberikan segala butiran akaun bank bersama baki wang dan selepas menyerahkannya, pengadu diminta membuka akaun bank baharu sebelum memindahkan ke semua wang miliknya ke dalam akaun tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Arshad, mangsa hanya menyedari ditipu pada 6 Januari lalu selepas mendapati wang di dalam akaun bank baharu miliknya itu telah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya sehingga berjumlah RM194,210.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada 24 Mac lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayan sebarang panggilan oleh individu yang tidak dikenali serta memberikan maklumat butir peribadi perbankan serta membuat semakan terus di agensi atau badan berkuasa berkaitan,” katanya.

Mangsa penipuan juga katanya boleh terus menelefon panggilan Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 untuk membuat tindakan pantas menyekat wang yang telah diserahkan kepada sindiket penipuan. – MalaysiaGazette