kursus elektif kelayakan mikro
Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Bagi memberikan pengalaman pembelajaran maksimum kepada pelajar, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyarankan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan supaya berkongsi penawaran kursus elektif bebas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, setiap program di IPT mempunyai kursus elektif bebas yang boleh diikuti pelajar yang kebiasaannya boleh merentasi fakulti.

Katanya, ketika ini pelajar bebas mengambil kursus elektif di dalam universiti yang berkenaan, misalnya jika pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) boleh mengambil di mana-mana fakulti di UPM dan pelajar UPSI boleh mengambil di mana-mana fakulti di universiti itu sahaja.

“Jadi, MQA menyarankan IPT memberi kebebasan kepada pelajar untuk mengikuti kursus elektif bebas ini bukan hanya di dalam universiti sendiri tetapi juga boleh mengikutinya di universiti tempatan lain.

“Apabila selesai mengikuti kursus berkenaan, pelajar boleh melakukan pindah kredit dan gred masing-masing,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, inisiatif tersebut signifikan bukan hanya kerana memberi peluang kepada pelajar untuk mempunyai lebih banyak pilihan kursus elektif yang dirasakan sesuai dengan bidang pengajian mereka, malah mampu meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang lain yang diminati.

Beliau berkata, selain mampu memperluas pengetahuan pelajar, usaha itu bakal memberi pendedahan terhadap suasana pembelajaran berbeza dengan universiti yang mereka ikuti sama ada di universiti awam mahupun swasta.

Katanya, pengalaman seumpama itu akan memberi nilai tambah kepada pelajar terutama apabila membabitkan kebolehpasaran apabila tamat pengajian nanti.

“Di MQA, kita tiada halangan malah menggalakkan dalam konteks ini dan diharap IPT tempatan menyambut cadangan ini dengan baik.

“Inisiatif ialah cerminan kepada fleksibiliti yang diberikan MQA terhadap IPT tempatan selain dapat meningkatkan kualiti dan semangat pelajar untuk terus cemerlang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast