kedai menjdi setor simpanan arak seludup dari luar negara dibongkar dan digempur polis Ahad lalu.Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Taktik menjadikan sebuah kedai di Jalan Ipoh di sini sebagai stor simpanan arak seludup terbongkar apabila digempur polis Ahad lalu.

Hasilnya, pelbagai jenis minuman keras berjenama  dari luar negara secara haram tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan nilai cukai RM861,924 telah dirampas dalam serbuan polis..

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dijalankan di kedai tersebut oleh pasukan polis dengan Pasukan Gerakan Am Semenyih pukul 1.55 petang.

“Hasil serbuan, kita berjaya menahan dua suspek lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing dipercayai memainkan peranan sebagai penghantar  kepada sindiket yang mendalangi penyeludupan itu.

“Pemeriksaan di dalam kedai tersebut polis berjaya merampas sebanyak 14,832 botol minuman keras pelbagai jenama dan 7,464 tin bir dipercayai barang tidak berkastam.

Arak seludup tidak bercukai kastam yang disorok dalam sebuah kedai di sentul digempur polis Ahad lalu. IHsa IPD Sentul

“Siasatan awal polis mendapati kami percaya premis berkenaan beroperasi sejak enam bulan lalu dalam aktiviti penyeludupan arak tidak berkastam itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, minuman keras berkenaan dikumpul dan disimpan dalam premis tersebut daripada dihidu pihak berkuasa dipercayai untuk dijual di kedai-kedai di sekitar Sentul.

Katanya, dalang utama di sebalik sindiket terbabit sudah dikenalpasti dan usaha menjejaki suspek itu telah dipergiatkan lagi.

“Kesemua suspek berkenaan kini direman selama 10 hari bermula 26 Mac lalu hingga 4 April ini bagi membantu siasatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau mengedar minuman keras seludup dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.-MalaysiaGazette