Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi akan mengadakan sesi dialog awam berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 6 April.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pemegang taruh yang berkepentingan akan dijemput untuk menghadiri sesi tersebut.

Jelas Mohamed Khaled, secara umum terdapat 44 seksyen dalam AUKU dan 32 daripadanya berkaitan tadbir urus universiti dan kementerian pendidikan tinggi.

Manakala hanya tujuh seksyen sahaja berkaitan dengan pelajar.

“Sesi libat urus ini bukan sahaja melibatkan pelajar tetapi juga wakil pentadbiran universiti, ibu bapa dan masyarakat.

“Seperti yang telah saya katakan 44 seksyen dalam AUKU bukan semuanya mengenai pelajar. Maka di situlah kita akan timbang dan fikirkan,” katanya.

Dalam Penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Peringkat Jawatankuasa bagi KPT di Dewan Rakyat hari ini, Mohamed Khaled mengulangi pendirian berkenaan kerelatifan AUKU terhadap aktiviti mahasiswa.

Mohamed Khaled turut menyambut baik beberapa cadangan daripada ahli Parlimen yang menolak penubuhan cawangan parti politik dalam universiti.

“Jadi saya anggap itu sebagai satu keputusan yang diterima semua. Jadi saya beri jaminan tak akan ada cawangan parti politik ditubuhkan dalam univerisiti,” kata beliau.

Sementara itu Mohamad Khaled berkata, kementerian akan membentangkan pindaan Seksyen 15 AUKU tahun ini.

Ini bagi membolehkan mahasiswa mengurus sendiri akaun dan kewangan mereka.

“Apabila kita membenarkan mahasiswa mengurus sendiri akaun dan kewangan mereka termasuklah mencari dan mengutip dana maka itu juga bermakna kebergantungan mereka kepada universiti dan kerajaan untuk dapat pembiayaan bagi membayar segala aktivitinya wajar dan sepatutnya dikurangkan.

“Takkanlah sudah diberi kebebasan masih ‘lari’ kepada kementerian, kerajaan untuk dapatkan dana kerana atas sebab itulah kekebasan itu diberikan,” katanya.

Seramai 15 orang ahli Dewan Rakyat telah membahaskan isu serta mengusulkan cadangan masing-masing berkaitan sektor pendidikan tinggi negara.

Kebolehpasaran graduan, halatuju Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), inisiatif pemudahcara prosedur visa pelajar asing; serta tindakan penguatkuasaan yang tegas ke atas Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang melanggar Akta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) antara yang dibahas.

Turut didebatkan berkenaan peruntukan program biasiswa di bawah KPT; penurunan bajet IPTA; serta kebajikan kakitangan kontrak universiti awam dan doktor pelatih di hospital awam. -MalaysiaGazette