Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menerima 574,886 permohonan baharu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehingga hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan masih lagi dibuka sehingga 31 Mac ini.

“Untuk meminimum beban kos sara hidup, kerajaan akan meneruskan bantuan berdasarkan keperluan kepada kumpulan sasar, melalui STR yang diberikan kepada hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, Fasa 2 STR akan dilaksanakan pada 5 April iaitu pertengahan bulan Ramadan.

Pembayaran Fasa 1 STR telah dilakukan pada 17 Januari lalu melibatkan 8.7 juta penerima dengan jumlah bantuan RM1.67 bilion.

Beliau menjawab soalan Jalaluddin Alias (BN- Jelebu) yang meminta penjelasan tentang pendekatan baharu dan kemajuan pelaksanaan Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan secara holistik dan berkesan.

Anwar berkata, data terkini setakat 15 Mac, sejumlah 123,243 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar telah berdaftar di eKasih.

“Melalui program atau projek yang dirancang dan sedang dilaksana, saya yakin dan percaya usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar akan berhasil.

“Ini untuk memastikan kelompok rakyat termiskin tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh,” kata Anwar.

Pendekatan diambil dalam menoktahkan kemiskinan antaranya meningkatkan pendapatan rakyat yang miskin melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Meminimum beban kos sara hidup melalui (STR), bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 400,000 golongan yang mudah terjejas dan subsidi, bantuan dan insentif sebanyak RM64 billion serta pelaksanaan konsep Payung Rahmah.-MalaysiaGazette