Dhipan (kanan) dengan Timbalan Naib Canselor HEPA UMT selepas diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Khazakstan.

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terpilih mewakili negara bagi penganjuran XXVI Ordinary Session of the Asian-Pacific Federation of Clubs and Associations
(AFUCA) for UNESCO Executive Board Meeting and the International raising Awareness Seminar on Education for Sustainable Development.

Ia bakal yang berlangsung di Kazakhstan pada 1 hingga 4 April ini.

Pelajar Sarjana Muda Biologi Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran
Marin (FSSM) UMT, Dhipan Raj Subramaniam mewakili negara ke persidangan antarabangsa bertemakan “Transformasi Pendidikan: Membangun, Melaksana dan Menilai” yang diadakan di Almaty.

Barisan panel pemilih bersetuju melantiknya bagi menghadiri persidangan tersebut setelah melihat ketokohan dan pengalaman dalam kepimpinan melalui penganjuran acara dan pengurusan kelab peringkat universiti dan komuniti.

Dia yang juga selaku presiden Kelab Marina berjaya mempromosikan budaya penjagaan alam sekitar melalui jalinan usaha sama dengan syarikat korporat dan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengekalkan kelestarian secara bersama.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr.Mohd Izani Mohd Zain menganggap pemilihan itu suatu pengiktirafan kepada pihak universiti.

“Sekalung tahniah dan syabas atas pemilihan ini. Saya amat berbangga dan ia merupakan suatu pengiktirafan kepada UMT.

“Selamat maju jaya dan harumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan pada 1979 telah melalui pelbagai peringkat evolusi berjaya menempa nama di pelbagai peringkat menerusi pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.- MalaysiaGazette