Amira Aisya Abd Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mahu penjelasan berhubung kenyataan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) telah menerima arahan untuk tidak meneruskan bantahan terhadap rayuan permohonan pasport Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd. Aziz  ingin mengetahui sama ada arahan berkenaan merupakan satu tindakan campur tangan.

“Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memberitahu mahkamah dia mempunyai arahan untuk tidak membantah permohonan itu.

“Ini adalah kenyataan DPP. Saya rasa perlu ada penjelasan, siapa yang beri arahan? Adakah arahan itu satu bentuk gangguan?” tanyanya dalam satu ciapan Twitter.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu juga mahu  Pejabat Peguam Negara (AG) dan pendakwaraya diasingkan.

Amira Aisya berkata, adalah penting untuk memastikan proses mahkamah tidak diganggu.

“Saya dapat memahami hakikat bahawa dia TPM dan perlu mengembara tetapi sekurang-kurangnya melalui proses dengan gangguan sifar.

“Inilah sebabnya, penting untuk asingkan AG dan pejabat pendakwaraya. Jadikan pejabat pendakwaraya bebas,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur boleh keluar negara tanpa kebenaran mahkamah selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendapatkan semula pasport peribadi dan diplomatiknya.

Sidang tiga hakim yang dipengerusikan Hanipah Farikullah membenarkan permohonan Ahmad Zahid selepas mahkamah berpuas hati ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Abdul Malik memberitahu mahkamah, beliau mendapat arahan untuk tidak membantah.

Ahmad Zahid membuat permohonan baharu pada 13 Februari lalu selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah enggan mengubah syarat jaminan bagi membolehkan beliau memiliki dokumen perjalanannya.

Ahmad Zahid berkata, sebagai TPM dan menteri, beliau memerlukan pasport untuk menjalankan tugas-tugas rasmi.

Katanya, beliau bukan berisiko untuk melarikan diri  dan pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan itu. – MalaysiaGazette