Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 MAC 2023.

PUTRAJAYA –  “Saya semasa jadi perdana menteri, saya buat lawatan rasmi di banyak negara. Tidak ada satu negara pun yang tidak sambut saya dan saya disambut oleh ketua negara.”

Itu kata Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil menegaskan ketika itu beliau tidak disambut oleh pegawai berpangkat rendah dari sesebuah negara.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini, selepas dikatakan tidak disambut oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga merangkap perdana menteri ekoran tidak memperuntukkan masa untuk bertemu dengannya.

Menurut Dr Mahathir lagi, beliau tidak faham dengan situasi yang dihadapi oleh Anwar susulan kejadian itu.

“Tak taulah kenapa…saya pun tak faham Raja Saudi dan Prince (putera) Mohamad tidak nak jumpa dengan Anwar.

“Tetapi, mereka mungkin mempunyai satu pandangan yang kita tak taulah yang menyebabkan mereka tidak ingin berjumpa dengan Anwar.

“Bila dia pergi ke sana dan yang jumpa dengan Anwar pun pegawai yang berpangkat rendahlah,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Situasi yang dihadapi oleh Anwar telah menjadi modal pembangkang yang membangkitkan  lawatan delegasi negara itu ke Arab Saudi sebagai gagal.

Tiga perkara yang cuba dimainkan adalah, Anwar menerima sambutan hambar dari Arab Saudi kerana hanya disambut Gabenor Jeddah; tidak dibawa masuk Kaabah seperti kelaziman lawatan perdana menteri Malaysia sebelum ini dan tiada pertemuan antara Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz atau Putera Mahkotanya, Mohammed Salman.

Pembangkang turut membandingkan lawatan Anwar dengan kejayaan kunjungan Muhyiddin Yassin pada 2021 yang disambut Raja Salman. – MalaysiaGazette