Ismail (tengah) menunjukkan rampasan ganja hasil tahanan pekerja bengkel kereta  dalam satu serbuan di sebuah rumah di Yong Peng, malam Ahad lalu.

BATU PAHAT – Polis berjaya menahan seorang pekerja bengkel kereta bersama sejumlah 70 ketulan ganja mampat yang dirampas seberat 63.12 kilogram.

Ganja yang dianggarkan bernilai RM157,800 itu ditemui dalam satu serbuan di sebuah rumah di Yong Peng malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan kejadian itu berkata, suspek yang berusia 37 tahun ibagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah.

Selain itu, saringan ujian air kencing juga menunjukkan suspek bebas daripada pengaruh dadah.

Hasil siasatan mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinadikan sebagai stor penyimpanan ganja selain dijadikan untuk perkhidmatan penghantaran ke seluruh Johor.

“Polis Batu Pahat bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Yong Peng dan berjaya menahan suspek lelaki warga tempatan berusia 37 tahun bersama sejumlah dadah.

“Suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak awal Mac ini dan ganja dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat hari ini.

Ismail berkata, dadah berkenaan boleh digunakan kira-kira 31,560 orang penagih.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan

Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula 27 Mac lepas hingga 1 April depan untuk siasatan lanjut.

“Dalam serbuan itu juga, polis turut menyita MPV Naza Ria digunakan suspek yang dianggarkan bernilai RM10,000,” kata Ismail.

Polis kini masih melakukan sisatan dengan menyoal suspek bagi mencari mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran ganja berkenaan.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast