Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang gagal membawa dan membahaskan usul lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di Dewan Rakyat hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menolak usul tergempar yang dibawa oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).

Langkah Wan Ahmad Fayhsal untuk memasukkan isu berkenaan dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri hari ini juga gagal.

Beliau yang tidak berpuas hati membuat bantahan dan meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor memberikan petua selepas kedua-dua usaha itu gagal.

“Saya telah menerima jawatan balas daripada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, usul saya ditolak berkenaan penjelasan lawatan rasmi PM ke Arab Saudi. Pagi tadi, soalan Perdana Menteri juga ditolak.

“Saya hendak minta petua daripada Yang Dipertua apakah saluran lain yang boleh saya bawa ke Dewan Rakyat untuk Kementerian Luar Negeri jelaskan kepada kami apa yang berlaku di Arab Saudi minggu lalu,” katanya.

Penambahan kuota jemaah haji sebanyak 10,000 orang dan penambahan barang dagangan minyak sawit berjumlah 500,000 tan bernilai RM1 bilion juga antara isu yang ingin ditimbulkan Wan Ahmad Fayhsal.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN- Kota Bharu) turut bangun meminta supaya usul berkenaan diterima dan dibahas.

“Isu yang diusulkan oleh Yang Berhormat Machang yang telah ditolak merupakan isu berkepentingan awam yang mempunyai kepentingan awam.

“Oleh itu soalan saya, adakah kerajaan khususnya menteri berkaitan lawatan Yang Berhormat Perdana Menteri kita ke Arab Saudi.

“Adakah kerajaan bercadang untuk memohon perintah tetap 14 (1I) bagi menteri memberikan penjelasan kepada Dewan Rakyat dan selurah rakyat Malaysia hakikat sebenar yang berlaku dalam hal ini,” katanya.

Ramli bagaimanapun tidak membenarkan usul berkenaan dengan alasan keputusan menerima usul terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertua Dewan.

Beliau meminta Wan Ahmad Fayhsal mengemukan semula usul berkenaan untuk dipertimbangkan. – MalaysiaGazette