SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) hari ini menerima kunjungan hormat dari Pegawai Diplomatik Kedutaan Jepun di Pejabat An-Munir Centre, Bandar Rimbayu.
Dalam pertemuan itu, Ketuanya, Mohamed Sukri Omar yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Shah Alam turut sama bertukar pandangan mengenai beberapa isu bersama Pegawai Diplomatik, Masubuchi Kana.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) yang lalu, menyaksikan tsunami luar biasa apabila Pas di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) menjadi parti paling banyak menang kerusi Parlimen.
Menurut Mohamed Sukri, kemenangan 49 kerusi Parlimen telah menarik minat Pegawai Diplomatik itu untuk melontarkan soalan pada pertemuan berkenaan.
Katanya, keputusan diperoleh Pas itu merupakan kehendak anak muda yang mahukan sebuah kerajaan bersih dan stabil seperti dilaungkan PN Best bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil.
“Keputusan ini adalah tsunami orang muda yang terkesan dengan salah guna kuasa diamalkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Di samping beberapa perubahan yang perlu diambil atau dibuat tindakan oleh parti yang bertanding dalam pilihan raya,” katanya di sini.
Turut hadir, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Selangor, Aubidullah Fahim dan Setiausaha Kerja Pemuda Pas Selangor, Ansarullah.
Di akhir pertemuan, Mohamed Sukri menyampaikan cenderahati sebagai tanda terima kasih kepada Mashubuchi.
Malah, Pegawai Diplomatik itu turut mengucapkan selamat maju jaya dan berharap nama Pas dapat dibawa ke tahap lebih baik.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, antara faktor kemenangan yang dikongsikan adalah pendekatan secara lebih santai melalui media sosial yang dibawakan Pas terhadap golongan muda.
Ini jelasnya, membolehkan parti itu lebih popular dan sinonim dalam kalangan pengundi baharu pada PRU15 November lalu.
“Agenda besar dibawakan Pas adalah kefahaman terhadap perpaduan ummah, kita berusaha menyatukan umat Islam, orang Melayu sama ada PN dan BN, malah dalam masa sama penyertaan beberapa kaum lain yang tidak ekstrem.
“Kemenangan Pas di semua Parlimen juga memberikan satu motivasi kepada parti ini dan parti yang berada dalam PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette