Muhammad Putra Abdullah yang dikesan polis membantu siasatan

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan dan menjejaki seorang lelaki untuk membantu siasatan kes pukul pemandu kontena ketika insiden kemalangan maut membabitkan murid KAFA di Jalan Telok Gong, Klang pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lelaki tempatan itu dikenalpasti sebagai Muhammad Putra Abdullah, berusia 31 tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu itu dan kejadian berkenaan diminta untuk tampil menyalurkan maklumat terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

“Sehingga hari ini seramai dua lelaki tempatan berumur 38 tahun telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengenai insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil semakan polis mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod lampau manakala suspek kedua mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

Selain itu polis juga memanggil seramai enam orang saksi kejadian dan selesai mengambil keterangan mereka untuk membantu siasatan.

Katanya, pengawai penyiasat kes berkenaan sedang dalam proses untuk melengkapkan siasatan untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa yang terdekat.

“Sementara itu, pihak polis masih meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap individu-individu yang terlibat dalam insiden tersebut,” ujarnya.

Dalam insiden yang menyayat hati itu, seorang murid Kelas Agama Fardhu Ain maut digilis tayar lori treler yang membawa kontena di Telok Gong.

Kejadian pada 22 Mac itu berlaku semasa mangsa bersama adik lelakinya sedang membonceng motosikal yang ditunggang jirannya dalam perjalanan pulang ke rumah.

Setiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas akibat jalan berpasir semasa memasuki simpang jalan sebelum terjatuh dan dilanggar lori kontena tersebut.

Mangsa maut di lokasi kejadian.

Kejadian itu menyebabkan sekumpulan individu awam mengepung lokasi kejadian sebelum menyalahkan pemandu lori berkenaan dan menyerang lelaki itu  sehingga cedera.- MalaysiaGazette