JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan tidak berhasrat meningkatkan kadar caj masuk kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki sempadan negara.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dapat memastikan kenderaan tempatan tidak dikenakan tindakan sama ketika memasuki republik berkenaan.
Katanya, kadar Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan dikekalkan kepada RM20 bagi setiap kenderaan asing yang melalui Tambak Johor atau Johor Bahru.
“Kita belum ada apa-apa cadangan untuk menaikkan VEP. Yang pertamanya apa sahaja caj jalan yang akan dikenakan pada kenderaan Singapura, maka Kerajaan Singapura pun akan mengenakan cukai jalan yang lebih tinggi untuk kenderaan Malaysia yang masuk ke negara itu.
“Kita kena lihat timbal balik kerana kita juga nak menggalakkan kemasukan pelancong-pelancong Singapura ke Johor untuk menyumbang kepada ekonomi di Johor. Jadi setakat ini belum ada.
“Tetapi setakat ini kementerian tak ada perancangan untuk meningkatkan cukai jalan tersebut,” katanya selepas melancarkan Pas Tanpa Had My as di Terminal Pengangkutan Awam Larkin hari ini.
Katanya lagi ketetapan itu dibuat meskipun banyak menerima pelbagai cadangan mengenai perkara tersebut daripada wakil rakyat.
Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Pandak Ahmad menyarankan agar kerajaan menaikkan kadar VEP khusus bagi kenderaan Singapura yang mahu memasuki negara ini.
Menurut beliau, kenaikan bayaran VEP itu wajar memandangkan kadar yang ditetapkan ketika ini amat rendah jika dibandingkan dengan kadar tukaran mata wang negara jiran berkenaan.- MalaysiaGaztte