Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memerlukan satu strategi pembanterasan secara berterusan sebagai usaha serius kerajaan menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan, antara langkah diambil kementerian itu ialah memperkukuhkan tadbir urus dan menambah baik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada.

Selain itu, kata beliau, KDN juga sedang memperhalusi pelan strategik penguatkuasaan Pati yang lebih komprehensif dan menyeluruh.

Katanya, statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sehingga 27 Mac lalu menunjukkan terdapat 4,655 PATI yang ditahan di empat depot Imigresen di Sabah.

“Berdasarkan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan melibatkan premis perniagaan dan perusahaan sepanjang tahun 2021, sebanyak 1,076 operasi penguatkuasaa telah dilaksanakan dengan tangkapan 1,881 PATI dan 45 majikan,

“Jabatan Imigresen Sabah (JIS) pula telah melakukan 700 operasi penguatkuasaan melibatkan tangkapan 1,437 Pati dari pelbagai negara dan 14 majikan atas pelbagai kesalahan Imigresen sepanjang 2022.

“Manakala sehingga 27 Mac lalu pula terdapat 265 operasi dilakukan dan 487 PATI dan dua majikan ditangkap,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Dr. Shamsul Anuar, bagi memastikan usaha pengusiran dilaksanakan dengan cekap, JIM mengambil tindakan secara konsisten seperti mempergiatkan usaha mengusir mereka ke negara asal.

Jelas beliau, usaha juga diadakan menerusi rundingan secara berkala dengan Kedutaan Filipina dan Indoensia serta bekerjasama bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang tahanan.

Katanya lagi, JIM juga telah merekodkan seramai 2,947 PATI diusir dari empat depot Imigresen di Sabah, iaitu depot di Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau pada tahun 2021.

Bagi tahun 2022 pula seramai 5,452 PATI  telah telah diusir dan dari 1 Januari hingga 27 Mac lalu, seramai 1,991 PATI dihantar pulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast