Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.-Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu manjalani saringan kesihatan sekali setahun selaras Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Fasa 2 yang digerakkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemeriksaan di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) itu akan bermula penggal akan datang.

Jelas beliau, langkah berkenaan diambil kerana isu kesihatan terutama penyakit tidak berjangkit (NCD) semakin membimbangkan di negara ini.

“Kita bukannya ingin mendahului Allah, tetapi statistik menunjukkan antara tempoh 2018 hingga 2020 terdapat sembilan wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggal dunia ketika berkhidmat akibat NCD.

“Berikutan itu saya berpandangan, mencegah lebih baik daripada merawat dan jawatankuasa ini melihat bahawa kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ANMS di bangunan Parlimen hari ini. Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Jawatankuasa itu juga akan menilai semula peruntukan dan pelaksanaan nutrisi pemakanan kanak-kanak pra sekolah dan sekolah rendah

“Kita tahu peruntukan yang diberikan kepada program ini agak besar namun masalah kesihatan seumpama ini masih berlaku, jadi terdapat perbezaan bila ada peruntukan yang besar namun masalah tetap ada.

“Jadi kita akan lihat dan sebanyak 15 kementerian bersedia untuk mendokong program ini supaya ia dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

ANMS Fasa 2 bakal menyaksikan kempen promosi kesihatan digerakkan secara besar-besaran di seluruh negara yang akan melibatkan program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS, 2019) mendapati seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidapi diabetes.

Manakala tiga daripada 10 mempunyai kolesterol tinggi dalam badan serta satu dalam dua orang mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes serta meningkatkan faktor risiko kepada penyakit kronik.

“Peningkatan penyakit akibat ini pembudayaan hidup tidak sihat oleh rakyat sehingga memberi tekanan hebat kepada sistem kesihatan dan perbelanjaan negara,” kata Ahmad Zahid.

Selain kos rawatan dan penjagaan kesihatan, dianggarkan kerugian ekonomi sebanyak RM8.91 bilion akibat ketidakhadiran kerja dan kematian pramatang dalam kalangan dewasa bekerja pada tahun 2017.-MalaysiaGazette