Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang melibatkan Malaysia dijangka berubah pada April selepas catatan dua kemenangan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 sekaligus mengutip 10.12 mata.

Berdasarkan perkongsian laman sesawang Footy Rangkings, keputusan tersebut memberikan tambahan mata sebanyak 5.27 dalam ranking FIFA sekaligus naik ke tangga 139 dunia dengan jumlah 1077.29 mata.

Perubahan kedudukan ranking itu berlaku selepas Mexico menewaskan Suriname 2-0 yang berada di kedudukan 139 dalam saingan Liga Negara CONCACAF pada 24 mac.

Pada perlawanan  pertama, skuad kendalian Kim Pan-gon itu menewaskan Turkmenistan yang berada di keduduka 135 1-0 pada 23 Mac lepas hasil jaringan tunggal Akhyar Rashid.

Malam tadi, Harimau Malaya mengutip sebanyak 4.84 mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong (kedudukan 146) sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1083.13 mata.

Dengan jumlah itu, Harimau Malaya dijangka naik empat anak tangga ke kedudukan kedudukan 138 dunia mengatasi negara seperti Ethiopia, Suriname, Burundi dan Eswatini.

Kali terakhir Malaysia masuk dalam kelompok 130-139 dunia adalah pada Ogos 2010.

Kedudukan ini boleh berubah sekiranya Malaysia konsisten mencatat kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang seterusnya.

Kedudukan ranking ini penting untuk menentukan balang undian rasmi Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung bulan Mei nanti.

Malaysia memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk naikkan mata ranking FIFA supaya berpeluang berada di balang undian yang lebih baik untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Hal ini kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah merangka format baharu kelayakan Piala DUnia 2026 dan Piala Asia 2027  untuk menentukan cara terbaik memilih pasukan ke Piala Dunia berdasarkan jumlah slot yang telah ditetapkan.

Pasukan di kedudukan 26 hingga 27 Asia akan bermain di pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia melibatkan satu perlawanan.

Ketika ini, Malaysia berada di ranking 25 Asia dan bakal beraksi di pusingan kedua. – MalaysiaGazette