Anggota Jabatan Tenaga Kerja (JTK) membuat pemeriksaan dokumen terhadap pekerja warga asing dalam Operasi Bersepadu Akta 466 Port Klang di sebuah kilang di sekitar Aman Perdana, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Sehingga kini kerajaan Malaysia telah menjalin kerjasama perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja asing melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 10 negara.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, hanya lapan MoU yang masih berkuatkuasa iaitu dengan Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Thailand, Vietnam, Nepal dan Kemboja.

Manakala dua negara yang telah tamat tempoh MoU bagi pengambilan pekerja asing ialah India dan Sri Lanka.

Namun, kata beliau, ketika ini Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah memuktamadkan MoU dengan India pada 13 Mac lalu, yang dijangka dimeterai sebelum akhir suku pertama tahun ini.

Mengenai jumlah pekerja yang diluluskan pengambilan, Mustapha berkata, sehingga 14 Mac lalu, sebanyak 995,356 kuota warga asing telah diluluskan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 84.7 peratus kuota pekerja asing telah pun dibayar levi oleh majikan dan seterusnya majikan diberi tempoh 18 bulan bagi maksud urusan membawa masuk pekerja berkenaan ke Malaysia selepas membuat pembayaran levi.

“Pertimbangan ini kita berikan bagi membantu majikan untuk mengurus kemasukan pekerja asing dalam jangkamasa yang mencukupi,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengenai jumlah kuota yang diluluskan bagi sektor, Mustapha menjelaskan, setakat ini sektor tertinggi memerlukan pekerja asing ialah perkilangan, diikuti pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

Bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor perindustrian, kata beliau, ianya bergantung kepada majikan yang telah mendapat kelulusan kuota untuk mengambil tindakan membawa masuk pekerja yang telah diluluskan.

Menjawab soalan tambahan, katanya, banyak aduan diterima iaitu apabila KSM meluluskan kuota, berlaku kes, di mana pekerja asing yang sudah sampai ke negara ini, tidak diambil oleh majikan di lapangan terbang.

“Ada juga kes, KSM sudah luluskan kuota, tetapi majikan tersebut minta mengurangkan kuota yang diminta sebelum ini.

“Untuk itu, Kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan dahulu penggajian pekerja asing ini kerana kita mahu majikan yang sudah mendapat kelulusan itu membawa masuk pekerja mereka dahulu dan kita akan lihat perkembangannya selepas itu.

“Kalau kita tidak bertegas dalam hal ini, ia akan menyebabkan berlaku kebanjiran pekerja asing dan proses kelulusan kuota pula tidak menepati keperluan sebenar oleh industri,” katanya. – MalaysiaGazette