Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerangkan sebab kerajaan tidak meminta sumbangan daripada syarikat berkaitan getah seperti yang dilakukan terhadap Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Menurut Anwar, syarikat terbabit telah membuat sumbangan kepada negara ketika penularan pandemik Covid-19.

“Ada yang membangkitkan mengapa kita tidak meminta sumbangan daripada syarikat produk getah seperti Hartalega yang meraih keuntungan besar semasa krisis Covid-19.

“Seperti semua sedia maklum, syarikat-syarikat ini telah pun menyumbang RM400 juta pada tahun 2020 untuk menyokong usaha mengekang penularan Covid-19 sebelum ini.

“Malah, mereka juga membayar Cukai Makmur hampir RM450 juta sebagai tambahan kepada cukai pendapatan sedia ada,” kata Anwar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) bacaan kali kedua di Dewan Negara  hari ini.

Sebelum ini beberapa pihak mempersoalkan mengapa Kerajaan hanya meminta sumbangan daripada Bernas dalam membantu rakyat yang terhimpit akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ahli Parlimen Kubang Kerian (PN) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man antaranya menggesa pengeluar sarung tangan, Top Glove berkongsi keuntungan dengan penoreh getah bagi membantu meringankan beban mereka.

Berucap di Dewan Rakyat, Tuan Ibrahim berkata, Top Glove mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit ketika pandemik Covid-19 dengan membekalkan sarung tangan ke seluruh dunia.

Justeru katanya, Top Glove sewajarnya melakukan perkara yang sama seperti Bernas yang berkongsi keuntungan dengan pesawah.

Sementara itu Anwar menegaskan, pentadbiran beliau akan memastikan sebuah kerjasama awam-swasta yang adil, terbuka dan memanfaatkan rakyat.

Kerajaan telah meraih sumbangan berjumlah RM60 juta daripada Bernas yang disalurkan terus kepada pesawah padi.

Selain itu, Bernas turut bersetuju membuat perkongsian sebanyak 30 peratus keuntungan bersih daripada
import beras kepada pesawah padi

Sebagai tambahan, Kerajaan juga telah mendapat komitmen daripada 50 syarikat swasta terkemuka termasuk Petronas, Sunway, Berjaya dan DRB Hicom untuk membantu usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). -MalaysiaGazette