Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Sehingga 28 Februari 2023, sebanyak 145 projek perumahan swasta (4.7%) yang lewat daripada kemajuan semasa dan 436 projek (iaitu 13.9%) adalah dikategorikan sebagai sakit daripada 3,117 projek perumahan swasta berlesen.

Ini menunjukkan terdapat sedikit pengurangan projek sakit berbanding Januari 2023.

Daripada keseluruhan projek tersebut, sebanyak 20 projek perumahan swasta sakit (1,784 unit rumah) telah berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan sebanyak enam projek sakit (2,241 unit) telah dipantau dengan rapi sehingga dikategorikan sebagai projek lancar.

Ini merupakan pencapaian positif sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai pada 30 Disember lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika mempengerusikan mesyuarat task force itu berkata, statistik projek perumahan swasta lancar, lewat dan sakit sentiasa mengalami perubahan status kemajuan untuk setiap bulan disebabkan oleh data yang dinamik serta pertambahan projek-projek baharu yang dilesenkan.

Selain itu, tempoh masa yang ‘ditangguhkan’ di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2022 [Akta
A1641] juga telah tamat yang mana pada masa ini merupakan tempoh pemulihan daripada isu kekurangan bahan binaan dan tenaga pekerja di tapak.

Keadaan pemulihan ini akan mengambil masa sehingga suku kedua tahun 2024 untuk pulih sepenuhnya.

Dengan mengambil kira situasi ini, unjuran projek perumahan bermasalah dijangka terus meningkat dan statistik terkini adalah sebanyak pertambahan 181 projek lewat
menjadikan projek perumahan swasta berstatus lewat berakhir tahun 2023 berjumlah 326 manakala unjuran bagi projek sakit sebanyak 282 menjadikan projek perumahan swasta berstatus sakit berakhir tahun 2023 sebanyak 718 projek.

Selain itu, lima projek terbengkalai yang terkini berjaya dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai iaitu Dolomite Park Avenue di Gombak, Selangor; Taman Petaling Utama, Selangor; Casa Melati, Gombak, Selangor; Pantai Avenue Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur dan Lot 5918-5927, Mukim Bukit Besar, Kuala Terengganu.

Ini menjadikan status terkini projek perumahan swasta terbengkalai sebanyak 110 projek yang melibatkan 23,563 unit rumah dan 13,931 orang pembeli.

Antara kaedah pemulihan projek terbengkalai yang dilaksanakan oleh KPKT ialah memastikan penyiapan projek sehingga memperoleh CCC, penyelesaian pembeli dan penukaran pemajuan.

Pada tahun 2023, KPKT telah meluluskan peruntukan pembangunan (DE) tambahan sekali beri berjumlah RM20 juta yang disasarkan untuk memulihkan projek terbengkalai bagi
rumah siap dan diduduki tetapi tanpa CCC.

Pemilihan projek yang ini amat kritikal untuk dipulihkan terlebih dahulu mengambil kira faktor keselamatan dan daya huni rakyat yang telah mendiami rumah-rumah tersebut. Peruntukan ini merupakan tambahan ke atas peruntukan pembangunan (DE) sedia ada yang berjumlah RM4.9 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan pada tahun ini adalah sebanyak RM24.9 juta iaitu meningkat
sebanyak 407.22% berbanding tahun 2022.

Oleh itu, KPKT mengharapkan komitmen daripada Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti projek-projek yang sesuai dan berupaya untuk dipulihkan pada tahun ini bagi memelihara
kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas. – MalaysiaGazette