Penceramah dari Fakulti Pertanian, UPM, Prof. Dr. Norsida Man bersama peserta Kursus Pengurusan dan Pelaksanaan Projek Agromakanan di Mentakab, Pahang.

KUANTAN  – Seramai 36 orang pegawai RISDA telah hadir ke kursus Pengurusan dan Pelaksanaan Projek Agromakanan di Mentakab, Pahang yang telah dikendalikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Bahagian Latihan RISDA dan Fakulti Pertanian, UPM baru-baru ini.

UCTC UPM bertanggungjawab untuk menghubungkan warga akademik UPM kepada pegawai agensi melalui aktiviti perkongsian ilmu dan kepakaran.

Kursus ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran pegawai agensi yang terlibat di lapangan untuk mengurus dan melaksanakan projek agromakanan
dengan jayanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ali Sabuddin Abd Samad berkata, kursus ini adalah bagi memastikan pegawai RISDA dapat melaksanakan projek yang memberikan impak dan kejayaan serta memberi keuntungan kepada golongan sasar.

“Pada masa ini agromakanan adalah fokus penting RISDA untuk membangunkan tanah terbiar bagi melaksanakan projek agromakanan yang berimpak.,” katanya semasa Ucaputama dan Majlis Perasmian Kursus Pengurusan dan Perlaksanaan Projek Agromakanan di sini.

Beliau juga berharap kursus ini dapat mencapai objektif yang disasarkan dan memberi manfaat kepada pegawai RISDA dan melahirkan pegawai yang kompeten
dalam menjalankan tugas di lapangan.

Majlis perasmian ini turut dihadiri Bahagian Program Khas RISDA Puan Nor Azwa Abd Salim dan penceramah dari Fakulti Pertanian, UPM, Prof. Dr. Norsida Man.

Sementara itu, kursus tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti kerjasama dalam memorandum persefahaman UPM dengan RISDA untuk perkongsian ilmu dan
kepakaran dari universiti kepada pegawai RISDA serta sama-sama berganding bahu memastikan aktiviti pertanian negara mencapai objektif dan matlamatnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast