KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution mendedahkan bekas naib presiden parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin dengan sukarela telah menandatangani bon sebelum menerima watikah pelantikan.
Saifuddin, saksi pertama kes saman PKR terhadap bekas menteri itu berkata, bon itu juga adalah syarat untuk seseorang calon sebelum bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kata Saifuddin, Zuraida juga mengetahui tentang syarat bon tersebut namun tidak pernah sesekali mengemukakan sebarang bantahan berkaitan syarat itu.
“Beliau tandatangan secara sukarela. Beliau juga tidak pernah kemukakan sebarang bantahan berkaitan.
“Defendan (Zuraida) juga hadir mesyuarat Biro Politik di ibu pejabat PKR pada 17 April 2018 untuk membincangkan persediaan berdepan pilihan raya umum, antara yang dibangkitkan ialah perincian setiap calon mesti menandatangani bon sebelum surat watikah calon dikeluarkan untuk bertanding pada pilihan raya,” katanya.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) berkata demikian dalam prosiding atas talian dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Akhtar Tahir hari ini.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman yang difailkan parti itu pada 28 Sept 2020.
Pernyataan tuntutan PKR mendakwa Zuraida, yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, telah menandatangani bon itu pada 25 April 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.
PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.
PKR menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak serta faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Saifuddin juga menyatakan rasa tidak setujunya dengan pembelaan bon bersyarat itu telah melanggar hak Zuraida untuk berpersatuan bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila beliau (Zuraida) menyertai Bersatu, Zuraida bertanggungjawab untuk membayar nilai bon itu kepada parti,” tegasnya.
Prosiding bersambung ketika ini. -MalaysiaGazette