Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan cadangan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya perbahasan mingguan diadakan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Perdana Menteri pembangkang di Parlimen sebagai sesuatu yang menarik.

Menurut beliau, cadangan tersebut patut dijadikan satu amalan biasa di mana-mana Parlimen.

Kit Siang berkata, di House of Commons, perbahasan antara Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dan Ketua Pembangkang, Keir Starmer sama ada mengenai isu polis atau imigrasi haram adalah satu perkara yang biasa berlaku.

“Tetapi di Malaysia, perkara ini amat jarang sekali terjadi. Semua orang tahu yang Keir Starmer adalah calon Perdana Menteri pembangkang, tetapi adakah Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang merupakan Ketua Pembangkang adalah calon Perdana Menteri pihak pembangkang?

“Sekiranya Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, hanya Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tan Sri Abdul Hadi Awang sahaja yang akan menjadi Perdana Menteri, bukan Hamzah yang berada di tempat kedua dalam barisan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lebih memburukkan keadaan, kata beliau, Muhyiddin, Abdul Hadi atau Hamzah tidak pernah menghantar walau satu pun soalan sejak Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) dimulakan di Parlimen dua bulan lalu.

Kit Siang mendakwa, situasi itu berlaku kerana ketiga-tiga mereka selalu tiada di dalam Dewan Rakyat semasa sesi PMQT berlangsung.

“Malah, ada hantaran ‘orang hilang’ mengenai Muhyiddin, Abdul Hadi dan Hamzah yang berlegar di media sosial dengan tulisan: ‘sesiapa yang jumpa sila lapor pada Parlimen Malaysia…’,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menganggap harapan PN bahawa Khairy akan menjadi poster boy dan calon Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya mereka menang dalam pilihan raya negeri (PRN) sebagai rahsia terbuka.

“Adakah Khairy akan bersetuju?” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast