GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan empat nelayan dan seorang tekong warga Myanmar yang sedang mengendalikan sebuah bot nelayan tempatan pada kedudukan 32.7 batu nautika barat laut Muka Head semalam.
Tangkapan pukul 12.10 tengah hari itu dilakukan selepas kapal ronda APMM mengesan bot nelayan tempatan kelas C itu dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Tanjung.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu berpangkalan di Pantai Remis, Perak.
Jelas beliau, semakan lanjut mendapati lima lelaki Myanmar berusia lingkungan 26 hingga 47 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain melanggar syarat sah lesen bot.
“Susulan itu, bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 500 kilogram hasil laut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abd Razak, pihaknya mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette