Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

PEKAN – Penggunaan pengokot dawai (stapler) dalam pembungkusan makanan dikategorikan sebagai satu kesalahan pencemaran makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, peniaga makanan terlibat boleh dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).

“Ini merupakan satu inovasi baharu yang tidak sepatutnya berlaku (digunapakai). Lebih baik kita cucuk guna batang lidi yang besar itu, lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini semalam.

Datuk Dr Nor Azimi Yunus merasmikan Majlis Pelancaran ‘Walkabout’ Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan

Sementara itu, Dr. Nor Azimi memberitahu, sebanyak 34 Notis Memerintah Kehadiran Ke Mahkamah di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan kepada pengendali makanan sepanjang minggu pertama Ramadan di Pahang.

Jelas beliau, keseluruhan kompaun sebanyak RM3,500 itu dikeluarkan susulan pemeriksaan di 892 gerai dan 1,784 pengendali makanan di bazar Ramadan di seluruh negeri itu.

“Antara kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Aka Makanan 1983 ialah 24 kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.

“Selain itu, terdapat lima kesalahan di bawah Peraturan 33 di mana pengendali makanan didapati gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan,” tambah Dr. Nor Azimi.

Datuk Dr Nor Azimi Yunus (Kiri) bersama salah seorang peniaga di Tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan

Menurut beliau, sebanyak 17 buah kilang ais turut diperiksa di mana 13 Notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan nilai RM8,650 kerana pemilik gagal mengadakan dan menyediakan Program Jaminan Keselamatan Makanan.

Dalam majlis itu juga beliau turut melancarkan penggunaan kod QR Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan bagi memudahkan orang awam menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan.

Jelas Dr. Nor Azimi, penggunaan kod QR itu kini diperluas ke semua 75 lokaliti Bazar Ramadan dengan jumlah premis makanan sebanyak 3,799 premis di seluruh Pahang. – MalaysiaGazette