Fauziah Salleh (dua dari kanan) meninjau gerai yang menjual menu Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN BARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui bekalan telur ayam di pasaran kurang antara 10 hingga 15 peratus.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri KPDN Fauziah Salleh menegaskan ia hanya membabitkan bekalan telur ayam  gred A, B dan C.

Jelas beliau, bekalan telur gred lain termasuk telur omega tidak terjejas serta masih boleh didapati dengan mudah di pasaran.

Fauziah.

“Ikutkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan paling sesuai nak cakap berhubung kekurangan bekalan ini, kami (KPDN) hanya cakap dari segi pasaran.

“Jadi apa yang boleh saya jelaskan anggaran bekalan telur ayam gred A, B dan C kurang di pasaran antara 10 hingga 15 peratus.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan kekurangan bekalan itu berlaku kerana ramai orang buat kuih ketika ini dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Fauziah merasmikan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) peringkat negeri Pulau Pinang di Bayan Baru di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Pengarah KDPN Pulau Pinang, S. Jegan.

BRR adalah inisiatif terbaru Kerajaan Perpaduan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan perpatutan dan setakat ini BRR telah dilaksanakan di 38 lokasi seluruh negara. – MalaysiaGazette