– Minister of Plantation Industries and Commodities, Datuk Zuraida Kamaruddin PBM resigns Bersatu
Datuk Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa beliau tidak tahu kandungan bon bersyarat RM10 juta sebelum menandatangani watikah pelantikan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kata bekas Menteri itu, beliau dipaksa menandatangani bon bersyarat itu tanpa diberi pilihan.

Tambahnya, beliau hanya mendapat dokumen itu sehari sebelum hari penamaan calon PRU14 pada 2018 tanpa diberi penjelasan atau butiran terma serta syarat dan mendakwa tidak dapat meneliti kandungan dokumen tersebut.

“Secara jujur, saya tidak tahu sama ada saya telah menandatangani dokumen yang dilampirkan di dalam Lampiran 1 (perjanjian bon RM10 juta) tersebut ataupun tidak.

“Saya pernah menandatangani dokumen yang serupa dan juga dokumen-dokumen lain berhubung PRU-14. Tetapi saya tidak membaca isi kandungan dokumen-dokumen yang diberikan kepada saya pada masa material.

“Tidak ada sesiapa yang menerangkan kepada saya tentang terma dan kesan dokumen-dokumen berkaitan dan saya juga tidak diberi salinan dokumen-dokumen itu pada bila-bila masa,” katanya di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, hari ini.

Beliau berkata demikian pada prosiding saman sebanyak RM10 juta terhadapnya oleh PKR atas dakwaan melanggar kontrak bon apabila menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Pada 24 Februari 2020 Zuraida mengumumkan keluar parti tanpa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.

Zuraida berkata, seandainya beliau mengetahui syarat bon itu pastinya beliau tidak menandatangani dokumen tersebut sebelum penerimaan watikah untuk bertanding pada pilihan raya 2018.

Dalam pada itu, Zuraida memberitahu, beliau keluar PKR selepas parti itu memecatnya dan perkara itu diketahui menerusi media.

“Saya benar-benar terkejut dan sangat kecewa dan merasakan bahawa kewujudan saya tidak lagi dihargai oleh parti tersebut memandangkan mereka boleh sewenang-wenangnya memecat saya daripada parti tersebut.

“Mereka (PKR) tidak mempertimbangkan fakta bahawa saya merupakan seorang ahli setia yang telah berjuang dan berkorban untuk parti tersebut selama lebih 21 tahun.

“Selepas berfikir panjang, saya akhirnya membuat keputusan untuk mengumumkan tentang perletakan jawatan saya daripada parti tersebut,” ujarnya.

Zuraida berkata, beliau membuat pengumuman keluar parti selepas PKR mengumumkan pemecatannya di media.

Semalam, saksi pertama iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution mendakwa Zuraida dengan sukarela telah menandatangani bon itu sebelum menerima watikah pelantikan bertanding pada PRU14.

Saifuddin berkata, bon itu juga adalah syarat untuk seseorang calon sebelum bertanding atas tiket PKR pada PRU14.

Saifuddin mendakwa, Zuraida mengetahui tentang syarat bon tersebut namun tidak pernah  mengemukakan sebarang bantahan berkaitan syarat itu.

PKR menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak serta faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – MalaysiaGazette