Temubual bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baharu, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin di Hidang KL, Jalan Damai, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh lagi menganjurkan program dalam kalangan pemimpin dan ahlinya sahaja.

Sebaliknya pemimpin parti itu perlu bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk kembali kekal relevan dalam arena politik negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baharu, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, istilah eksklusif tidak lagi wujud dalam UMNO di mana terdapat sikap pemimpin parti yang datang program sekadar berucap dan kemudian beredar pulang.

Sebaliknya, tegas Ketua UMNO Bahagian Maran itu, pemimpin parti mesti dilihat masyarakat sebagai pemimpin mereka dan bukan sekadar pemimpin sebuah parti politik semata-mata.

“UMNO ini tidak boleh lagi eksklusif dan sesama kita sahaja buat program UMNO sahaja. Kalau kita buat program UMNO, orang UMNO sahajalah yang datang. Jadi kita kena ada usaha tambahan dengan mendekati di luar kelompok UMNO.

“Sebelum ini bukan kita tidak dekati, tapi mungkin kita dekati dalam program di mana kita pergi berucap dan balik. Maksudnya mendekati ini kita betul-betul blend in dengan dia orang dan masuk dalam masyarakat.

“Jadi mereka tidak memandang sebagai pemimpin parti politik sebalik pemimpin buat mereka. Contoh baru-baru ini saya diminta oleh sebuah NGO wanita yang minta saya jadi penaung dan mereka bukan terdiri daripada ahli UMNO, sebilangan besar dari PKR dan MUDA.

“Namun mereka selesa dengan saya walaupun berbeza faham politik dan mereka dekati saya dan saya terima tawaran mereka. Saya mahu mereka mengenali saya sebagai pemimpin UMNO di mana persepsi mereka mungkin berbeza selepas ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pada pemilihan UMNO baru-baru ini, Shahaniza dipilih sebagai satu-satunya wanita dalam senarai ‘Top 10’ ahli MKT parti itu.

Beliau berada pada kedudukan kelapan daripada 25 ahli MKT yang dipilih oleh perwakilan UMNO seluruh negara.

Dua lagi wanita yang dipilih sebagai ahli MKT ialah dua bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan serta Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Untuk rekod, Shahaniza juga satu-satunya pemimpin wanita yang menang ahli MKT serta mengekalkan Ketua UMNO Bahagian Maran buat penggal kedua.

Mengulas kejayaan menjadi satu-satu pemimpin wanita dalam parti yang memegang dua jawatan besar, Shahaniza mengakui tidak menjangka kemenangannya itu kerana beliau menawarkan diri untuk bertanding disebabkan faktor mahu menyumbang khidmat kepada UMNO.

Namun jelas bekas Ahli Dewan Undangan Kuala Sentul itu, kejayaannya itu menggambarkan kepimpinan wanita dalam UMNO kini sudah terima oleh ahli parti selain beliau banyak belajar daripada kekalahan sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Maran pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. – MalaysiaGazette