TUMPAT – Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO 2023 (JBPU) membatalkan keputusan pemilihan UMNO Bahagian Tumpat, Kelantan berkuatkuasa serta merta.
Ini berikutan wujud ketidakteraturan perjalanan dalam mesyuarat perwakilan dan proses pemilihan UMNO Bahagian itu pada 18 Mac lalu.
Surat bertarikh 30 Mac 2023 itu dihantar kepada Setiausaha UMNO Bahagian Tumpat, Kasim Umar dan ditandatangani Datuk Abu Bakar Isa Ramat selaku Pengerusi JBPU.
Setelah penelitian dibuat terhadap aduan berkenaan, JBPU 2023 telah membuat keputusan dan ketetapan bahawa mesyuarat dan pemilihan UMNO Bahagian Tumpat adalah tidak sah.
Sehubungan itu, UMNO Bahagian berkenaan perlu membuat pemilihan semula bagi semua peringkat jawatan, tetapi tidak terlibat untuk pemilihan peringkat pusat.
Calon perlu menggunakan nombor dan senarai perwakilan yang sama untuk proses pemilihan semula.
Tarikh, masa dan tempat untuk pemilihan semua UMNO Bahagian itu akan dikendalikan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan dengan dipantau oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO Negeri.
Dalam pemilihan itu, penyandang Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah dicabar tiga calon, antaranya Wan Sanusi Wan Yunus, Ibrahim Othman dan Rosdi Mamat. – MalaysiaGazette