Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun mati selepas terjatuh dari tingkap perumahan di tingkat 16 di sebuah pangsapuri di Jinjang petang tadi.- Gambar IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun mati selepas terjatuh dari tingkap perumahan di tingkat 16 di sebuah pangsapuri di Jinjang petang tadi.

Dalam kejadian pukul 4.15 petang itu, mangsa disedari memanjat tingkap oleh kakaknya namun tidak sempat menyelamatkannya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, semasa kejadian, mangsa tinggal berdua bersama kakaknya.

“Semasa kejadian berlaku, kakak mangsa telah meninggalkan mangsa yang sedang bermain permainan komputer untuk ke tandas namun apabila keluar dari tandas, kakak mangsa terlihat mangsa sedang memanjat tingkap yang terdapat di dalam bilik tersebut.

“Kakak mangsa telah berlari ke arahnya untuk menarik kedalam, namun tidak sempat kerana mangsa telah pun terjatuh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati rumah tersebut tidak dilengkapi dengan jeriji besi.

“Oleh yang demikian, mangsa disyaki telah tergelincir keluar dari tingkap semasa sedang memanjat tingkap di dalam bilik utama rumah tersebut. Siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden ini,” kata Eng Lai.

Pegawai parimedik dari Hospital Kuala Lumpur telah mengesahkan kematian mangsa dan telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Polis Sentul menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.- MalaysiaGazette