Wanita UMNO Titiwangsa kanak-kanak
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menggesa kerajaan meneliti semula Akta Kanak-kanak 2001 bagi memastikan kes-kes kecuaian dan pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, peruntukan dalam Seksyen 31 akta tersebut menyatakan bahawa kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak oleh ibu bapa atau penjaga, jika didapati bersalah dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Selain itu, katanya, pesalah boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori.

Namun, beliau berpandangan, ia dilihat tidak mampu menangani insiden berkaitan kesalahan tersebut.

“Justeru, Wanita UMNO ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk meneliti semula peruntukan-peruntukan dan sedia ada dengan memasukkan elemen pendidikan dan kesedaran untuk menangani perkara-perkara sebegini daripada terus berulang.

“Selain itu, Wanita UMNO juga menyeru semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama membantu mengukuhkan institusi kebajikan dan perlindungan anak-anak ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong mengulas mengenai empat kanak-kanak yang maut di dalam bilik air selepas rumah yang mereka diami terbakar di Kampung Sabak Awor, Muar, kelmarin.

Wanita UMNO turut mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta terkesan dan bersedih atas kehilangan empat kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga lapan tahun itu.

Noraini menambah, kejadian sedemikian sepatutnya menjadi pengajaran yang besar kepada setiap keluarga dan masyarakat.

Beliau memberitahu, kes-kes kecuaian dan pengabaian ibu bapa kepada kanak-kanak ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Walaupun kejadian tersebut berlaku dengan tidak sengaja atau disedari, ia sesuatu perkara yang kritikal apabila kes tersebut melibatkan nyawa, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette