KUALA LUMPUR – Tidak ada berlaku kesilapan perkataan dalam pendapat penganalisis dalam berita bertajuk “OPR dijangka naik sekali lagi seawal Julai” oleh Berita Harian yang ditegur oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Sebaliknya, perkataan yang digunakan itu adalah biasa dalam laporan kewangan, ekonomi dan dasar monetari di seluruh dunia.
Seorang penganalisis ekonomi berkata, jika menteri berkenaan membaca laporan ekonomi, kewangan dan dasar monetari yang ditulis oleh mana-mana media khususnya Bloomberg atau Reuters, begitulah gaya penulisannya.
Perkataan ‘jangka’ itu disebut berdasarkan keputusan analisis dan data-data yang dibuat oleh penganalisis-penganalisis ekonomi dan ia tidak sepatutnya dinilai atau diberi tafsiran sebagai pendahului keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) atau kerajaan.
“Perkataan jangka atau expectation (dalam bahasa Inggeris) untuk sektor ekonomi bukan luar biasa. Bukan baharu pun, sudah biasa kerana itulah perkataan tepat.
“Saya ambil contohlah, macam media Bloomberg pun selalu bertanya How much more will the Fed raise rates in 2023? Selalunya, jawapannya adalah The Fed is likely to hike rates by a quarter point. Nampak tak di situ penggunan perkataan ‘likely’ atau ‘jangka’,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Penganalisis yang enggan namanya disebut ini berkata, mana-mana penganalisis akan menggunakan perkataan ‘jangka’ kerana mereka bukan pembuat dasar.
Kepastian setiap keputusan dalam dasar monetari hanya diputuskan oleh bank pusat setiap negara sahaja.
Oleh itu, pandangan penganalisis dalam ekonomi, kewangan atau dasar monetari bukan mendahului pengawal selia kewangan.
“Jadi laporan yang dibuat oleh media itu tidak silap dan tidak menakutkan rakyat kerana ia adalah satu analisis. Berita itu ternyata bukan keputusan BNM atau kerajaan sebab ia adalah satu pandangan profesional. Semua orang tahu akan perkara tersebut.
“Jika tidak boleh menggunakan perkataan ‘jangka’ macam mana penganalisis mahu memberi pandangan selepas ini?,” soal beliau.
Tambahnya, tidak timbul rakyat bimbang dengan berita itu kerana BNM sudah memaparkan kalendar tahunannya yang menunjukkan pengumuman Mesyuarat Jawatankuasa Monetari akan diadakan pada 3 Mei ini.
Disebabkan itu, penganalisis ekonomi memberi ramalan masing-masing berdasarkan laporan BNM yang dikeluarkan baru-baru ini serta situasi semasa ekonomi.
Selama ini pun, setiap kali menjelang pengumuman dasar monetari, para penganalisis akan membuat analisis masing-masing untuk tujuan pengurusan perbankan dan pelaburan dalam membuat persediaan strategi masing-masing.
Rakyat juga sebenarnya mendapat banyak faedah apabila adanya analisis-analisis sedemikian kerana mereka dapat membuat persediaan dalam bentuk literasi kewangan masing-masing.
Penganalisis ini berharap pandangan profesional dalam ekonomi tidak disalahertikan oleh kerajaan sedia ada kerana itulah amalan semua negara.
“Selama ini itulah praktisnya. Jika salah, sudah tentu BNM tegur lama dah, bukan baru sekarang hendak tegur.
“Menganlisis data dan memberi pandangan itu adalah kerja kami. Kalau penganalisis tak boleh kongsi analisis, rugilah. Takkan la rakyat hanya kena tunggu pengumuman sahaja.
“Saya harap Kerajaan Perpaduan tidak bankrap idea dalam menegur terutama melibatkan profesion golongan profesional,” ujarnya. – MalaysiaGazette