PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji yang berulang terhadap al-Quran di Denmark dengan insiden terbaru berlaku pada Jumaat.
Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), serangan serupa pada 24 Mac menunjukkan jenayah kebencian terhadap kitab suci Islam yang dilakukan pada Ramadan itu ternyata membelakangkan sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.
“Kami menggesa kerajaan Denmark supaya tidak mengklasifikasikan jenayah kejam ini sebagai kebebasan bersuara, sebaliknya mengambil tindakan segera terhadap pelaku yang menyebarkan kebencian dan hasutan untuk keganasan,” kata Wisma Putra menerusi Twitter.
Media sejak beberapa bulan kebelakangan ini melaporkan beberapa perbuatan membakar al-Quran atau percubaan untuk melakukannya oleh tokoh atau kumpulan Islamofobia di utara Eropah dan negara-negara Nordik.
Sejak itu perbuatan mencemarkan al-Quran telah mencetuskan kemarahan dan kecaman di seluruh dunia dan menggesa supaya kebenaran untuk melakukan protes ke atas Islamofobia perlu dihentikan.
— BERNAMA