Melaka
Razlan Mohd. Rafii beramah mesra bersama penduduk selepas menyampaikan sumbangan Rahmah Ramadan kepada penerima pada program Gerak Rahmah 2023 di Madrasah Al-Khairiah, Taman Salak Jaya, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Perkembangan politik di Melaka yang menyaksikan pertukaran Ketua Menteri dalam masa kurang dua tahun tidak menjejaskan kestabilan UMNO di negeri berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, perubahan Ketua Menteri Melaka daripada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali kepada Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh telah dipersetujui oleh semua pihak.

Menurut beliau, kesepakatan itu menyebabkan tidak akan berlaku perbezaan pandangan di peringkat kerajaan negeri serta dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri di Melaka.

“Di Melaka kita menang tiga perempat. Ini adalah satu majoriti yang amat tinggi.

“Saya percaya sesiapa sahaja yang menjadi Ketua Menteri, beliau akan diberikan mandat yang besar dan akan diberi kepercayaan,” katanya kepada MalaysiaGazette pada Program Gerak Rahmah 2023 di Madrasah Al-Ikhlasiah, Taman Salak Jaya di sini, hari ini.

Razlan yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulas tentang pelantikan Ab. Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu semalam.

Beliau menambah, apa yang paling penting, rakyat Melaka tetap menerima manfaat walapun berlaku perubahan pucuk pimpinan tertinggi kerajaan negeri.

“Apa sahaja pembangunan ekonomi dan pelancongan di Melaka saya percaya akan lebih ditingkatkan dan paling penting, rakyat dapat manfaatnya,” jelasnya.

Sementara itu, Razlan meminta pihak pembangkang agar jangan mempolitikkan inisiatif menu Rahmah yang bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Ini adalah perkara yang murni sebab kita tak tahu berapa ramai rakyat kita yang betul-betul memerlukan,” katanya.

Beliau memberitahu, mereka sepatutnya turut menyumbang dalam usaha membantu dan mendekati rakyat. – MalaysiaGazette