Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa antara bekas pemimpin UMNO yang bakal menyertai Pas.

Perkara itu dibayangkan sendiri oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengalu-alukan penyertaan tokoh besar UMNO dalam Perikatan Nasional (PN).

“Tidak kira mereka mahu menyertai Pas atau parti Bersatu, kita mengalu-alukan. Kehadiran tokoh ini akan memberi nilai tambah kepada PN berdasarkan pengalaman politik mereka,” katanya di sini, semalam.

Mengenai desas desus penyertaan Annuar yang merupakan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Dr. Ahmad Samsuri menjawab, insya-Allah.

“Insya-Allah, kita alukan (Annuar). Kita juga jangka lebih ramai turut serta, saya tak boleh sebut lagi, tetapi insya-Allah akan ada,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka mengalu-alukan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu menyertai parti tersebut.

Beliau menyifatkan Annuar sebagai pemimpin yang berwibawa dan boleh membaca politik tanah air. – MalaysiaGazette