Datuk Dr. Aman Rabu

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berkemungkinan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap doktor kontrak di negeri itu sekiranya didapati mengambil bahagian dalam mogok yang dijangka berlaku serentak di seluruh negara esok.

Pengarah JKNJ, Datuk Dr Aman Rabu berkata, bagaimanapun, tindakan itu hanya akan diambil selepas teguran dan nasihat diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, pengarah hospital di setiap daerah juga telah dinasihatkan untuk memastikan setiap pegawainya hadir menjalankan tugas esok.

“Perkhidmatan berjalan seperti biasa, itu jaminan kita. Kalau berlaku (mogok esok) tindakan akan diambil terhadap mereka yang ambil bahagian dalam mogok itu, sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita akan beri nasihat dan teguran (dahulu), kalau langgar juga, mungkin ambil tindakan tatatertib,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi pemantauan bazar Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

Dr Aman berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat sama ada terdapat mogok dalam kalangan doktor kontrak di Johor esok, sekali gus memberi jaminan dan memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Ling berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan dan masalah yang dihadapi doktor kontrak di negeri itu dan menyampaikan hasrat mereka kepada KKM.

“Walaupun ia bukan bidang kuasa negeri, tetapi sebagai wakil kerajaan negeri, saya masih terbuka untuk mendengar rintihan doktor kontrak supaya dapat sampaikan hasrat mereka kepada pihak kementerian.

“Mudah-mudahan saya harap doktor kontrak, saya yakin dan percaya, mereka masing-masing ada hati dan berjiwa rakyat, berjiwa membantu pesakit,” katanya. – Bernama

1 Komen

  1. Isu ttg Dr kontrak ini sudah berlarutan begitu lama sungguh.KKM pasti sudah tahu & pasti yg kita kurang Dr.Covid19 telah mengajar kita.Tapi kalau pihak bertanggungjwb masih ambil sikap sambi lewa saja, pasti akan merugikan dan rakyatlah yg terkesan sekali hasil dr kelembapan dlm pentadbiran kerajaan.Org atas minta Dr2 ni berkorban demi rakyat konon, tapi mereka sendiri tiada kesungguhan utk atasi masaalah.Nak lulus jadi Dr kan susah giler.Bukan mcm jurusan sastera atau ekonomi.Relik aje.Tup2 berjaya jadi Pegawai tadbir yg bertanggungjwb menentukan masa depan Dr2 itu. Kan pelik tu.Ok lah tolak tepi lah isu kelulusan tu, tapi pentadbiran kerajaan mestilah cekap, cepat & amanah. Jangan tunggu sampai nak mogok baru nak beri perhatian.Akhirnya rakyat yg akan menerima kesan buruknya.Pegawai2 tu goyang kaki aje, sebab bulan2 gaji masuk. Apa dia org kesah!

Comments are closed.