Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen syarikat pelancongan Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH).

TH berkata, langkah penggantungan itu sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

“Keputusan ini diambil berikutan makluman beberapa aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang diberikan oleh syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kecoh di media sosial tentang dakwaan membabitkan sebuah agensi pelancongan yang didakwa menipu jemaah umrah sehingga mereka melakukan tunjuk perasaan di ibu syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, jemaah yang memilih untuk mengerjakan haji melalui pakej swasta masih boleh memilih antara 22 lagi syarikat PJH yang dilesenkan, termasuklah anak syarikat TH iaitu TH Travel & Services Sdn Bhd.

“TH sentiasa memantau prestasi syarikat PJH yang dilesenkan termasuklah perkhidmatan yang diberikan bagi ibadah umrah.

“TH tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak demi untuk menjamin kebajikan jemaah haji negara,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette