PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu pertikaian Laut China Selatan ketika beliau bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping sempena lawatan rasminya ke negara berkenaan baru-baru ini.
Ketika menyampaikan ucapan pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini, beliau berkata, isu tersebut dibangkitkan ekoran syarikat minyak dan gas negara, Petronas memiliki pelantar cari gali terbesar yang beroperasi di kawasan berkenaan.
“Dalam beberapa isu lain agak sensitif seperti Laut China Selatan dengan Presiden China, saya membangkitkan kerana Petronas ada pelantar terbesar yang pernah disediakan di negara kita dan meneruskan projek cari gali di situ.
“Ini bercanggah kerana di kawasan itu ada tuntutan yang sama dari China dan saya beritahu bahawa sebagai negara kecil yang memerlukan sumber, maka minyak dan gas, kita terpaksa teruskan tetapi kalau syaratnya harus ada rundingan, maka kita sedia berunding,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, beliau turut menyentuh isu Myanmar dan pelarian Rohingya meskipun mengetahui China mengamalkan dasar tidak campur tangan.
Katanya, Malaysia juga tidak berhasrat untuk campur tangan namun kini terdapat lebih 200,000 pelarian etnik Rohingya di negara ini.
“China rapat dengan Myanmar tetapi dasar mereka tidak campur tangan, saya katakan kita pun tidak bermaksud campur tangan urusan sistem dia, kita perkenalkan sistem kita.
“Tetapi ada hampir 200,000 pelarian Rohingya di sini. Jadi sama ada kita suka atau tidak, apa yang berlaku di Myanmar, yang menafikan hak penduduk Myanmar sendiri termasuk Rohingya, itu beri kesan kepada kita,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, kepada Jinping bahawa Myanmar sendiri tidak mahu menerima hampir 200,000 pelarian terbabit.
“Ini satu negara yang tidak terima rakyat dia, dianiayai, dimusnahkan rumah mereka sebagainya. Sekurang-kurangnya kita lahirkan (pandangan) dan tentunya jawapan pimpinan China, mereka akan teruskan rundingan dengan Myanmar,” jelasnya. – MalaysiaGazette