Pemandu teksi menunggu giliran mendapatkan penumpang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette. Foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Lanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing kepada 15 Tahun tidak mampu merealisaikan hasrat Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk melestarikan industri teksi danĀ  meningkatkan mutu perkhidmatan yang berkualiti.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain berkata, ini kerana nasib pemain industri bukan hanya tertakluk kepada syarikat-syarikat teksi dan e-hailing semata-mata.

Sehubungan itu beliau menyeru MOT mendengar cadangan daripada GTSM untuk menaik taraf industri teksi negara.

“Kami mengucap jutaan terima kasih kepada APAD dan Kementerian Pengangkutan kerana mempunyai hasrat untuk menjadikan perkhidmatan teksi dan e-hailing sebagai mod pilihan penumpang.

“Selain itu, kami juga berharap Kementerian Pengangkutan bersedia mengadakan sesi perbincangan dengan pihak kami bagi mendengar sendiri cadangan kami untuk menaiktaraf industri teksi negara.

“Kami amat yakin jika cadangan kami dilaksanakan secara tulus tanpa sebarang unsur birokrasi dan kepentingan pihak-pihak tertentu, ia pasti mampu dilaksanakan dan berjaya,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun Kamarudin berkata, GTSM menyambut baik pengumuman lanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing kepada 15 Tahun.

Jelasnya pengumuman tersebut bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah pemandu teksi dengan kenderaan yang mencapai had usia 10 tahun, malah mampu mengekalkan jumlah kenderaan e-hailing sedia ada.

“Sebenarnya perkara lanjutan had usia kenderaan teksi dan e-hailing ini pernah kami usulkan kepada kerajaan ketika mesyuarat kami bersama Majlis Tindakan Ekonomi pada 28 May 2020 supaya semua kelas teksi di seluruh negara dilanjutkan kepada 15 tahun susulan Pelaksanan Perintah Kawalan (PKP).

“Jika lanjutan had usia ini tidak dilaksanakan, kami yakin negara akan menghadapi masalah perkhidmatan awam darat khususnya teksi, berikutan ramai ahli-ahli kami tidak mempunyai keupayaan untuk membeli teksi baharu,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, perbincangan melibatkan pemain industri teksi negara mampu membawa pembaharuan kepada industri teksi setaraf dengan perkhidmatan di negara-negara maju.

Selain itu perkhidmatan teksi akan lebih baik dengan adanya pemandu teksi yang lebih berhemah dan profesional.

“Penumpang bakal menikmati keselesaan dan keselamatan penumpang lebih terjamin. Pemandu tidak terbeban dengan kos pembelian kenderaan yang terlalu tinggi dan kos penyelenggaraan yang lebih murah,” katanya lagi.

APAD berkata, pelanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing kepada 15 tahun diguna pakai bagi kedua-dua kelas kenderaan e-hailing dengan mematuhi tiga syarat.-MalaysiaGazette