Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Kes tipu atas talian menjadi penyumbang utama kes komersial di Pahang bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini dengan 478 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian hampir RM7 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang secara keseluruhan telah membuka 567 kertas siasatan berkaitan jenayah komersial dengan kerugian RM9,743,242.52 dalam tempoh tersebut.

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam Sidang Media di IPK Pahang hari ini.

“Mengikut data, mangsa paling tinggi terdiri daripada pekerja sektor swasta iaitu 229 orang dan sektor awam 69 kes.

“Mangsa kebanyakan lelaki dengan anggaran umur mangsa terlibat adalah 17 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK Pahang), di sini pagi tadi.

Tambah Ramli, dalam tiga bulan pertama tahun ini juga, JSJK Pahang telah berjaya membuat tangkapan ke atas 319 suspek bagi jenayah komersial.

“Tangkapan paling tinggi bagi kes tipu iaitu 303 tangkapan, kebanyakan merupakan pemilik akaun,” katanya.

Jelas beliau, jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu sebanyak 230 tangkapan.

Dalam pada itu, bagi memastikan orang ramai tidak terus menjadi mangsa penipuan, beliau berkata, JSJK Pahang sentiasa menjalankan program pencegahan secara berterusan.

Antara program itu ialah pameran, ceramah dan siaran media secara fizikal dan maya, pengedaran risalah, pertemuan dengan masyarakat di luar bandar seperti sembang santai.

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan risalah hebahan untuk orang awam menyemak status akaun yang diragui termasuk ‘scammer’


“Masyarakat juga dingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya kerap membuat semakan atas kemasukan atau pengeluaran wang yang mencurigakan dalam akaun sendiri supaya tidak menjadi suspek keldai akaun,” jelas Ramli.

Polis Kontinjen Pahang katanya sentiasa mengambil tindakan pro aktif dengan mengadakan kempen pencegahan jenayah komersil untuk memberi pendedahan trend terkini modus operandi secara berterusan melalui media sosial. – MalaysiaGazette