Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajidi Dasuki (kiri ) bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay (kanan ) menyaksikan pertukaran memorandum antara Presiden Institut of Railway Signal Engineer United Kingdom, Andy Knight (dua kanan) dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur Datuk Dr. Roziah Omar (dua kiri) Pada Majlis Perjanjian Persefahaman antara Universiti Kuala Lumpur dan Institut Of Railway Signal Enginees di Universiti Kuala Lumpur Malaysia Italy Design Institute (UniKL MIDI) Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 03 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menawarkan sijil kompetensi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sijil yang ditawarkan itu ialah dalam bidang Isyarat Rel dan Telekomunikasi yang berkolaborasi dengan Institution of Railway Signal Engineers (IRSE) dari United Kingdom (UK).

Kata beliau, pensijilan professional oleh IRSE dalam bidang Isyarat Rel dan Telekomunikasi sangat setara dengan pensijilan Chargeman dalam bidang elektrik oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Justeru, UniKL hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan IRSE sebagai langkah strategik Mara menawarkan sijil kompetensi ini kepada anak-anak muda.

“IRSE adalah badan berlesen di bawah UK Engineering Council yang menjalankan pelbagai aktiviti untuk menyokong pembangunan professional dan mengekalkan kompetensi ahlinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UniKL dengan IRSE di UniKL Malaysia Italy Design Institute, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut UniKL diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Roziah Omar manakala IRSE diwakili Presidennya, Andy Knight.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay dan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Razlan Samsuri.

Sementara itu, Asyraf memberi jaminan kebolehpasaran pekerjaan dalam bidang kereta api bagi penuntut UniKL mencapai 100 peratus.

“Bermakna, mereka keluar sahaja dari universiti ini, mereka terus mendapat pekerjaan. Bukan sahaja dalam negeri, bahkan di luar negara pun mereka diterima dengan sijil ini,” katanya.

Beliau berkata, kolaborasi itu dicetuskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada tahun 2022 yang menjalankan lawatan kerja ke IRSE di UK.

Katanya, hasil lawatan itu bagi membangunkan satu usaha sama yang strategik dalam memperkasakan modal insan selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 dan 12 serta mendokong aspirasi TVET.

“Bagi pelaksanaan usahasama ini, Mara telah meluluska pembiayaan pinjaman pelajaran bagi pelajar di peringkat diploma.

“Apabila tamat kelak, graduan diploma ini akan memperoleh dua sijil iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan Sistem Rel dan Sijil Kompetensi IRSE Modul A,” ujar beliau. – MalaysiaGazette