Presiden Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid menunjukkan laporan polis terhadap Datuk Seri Aliff Syukri berhubung muzik video bertemakan aidilfitri berjudul 'Cak Kun Cak Raya' di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Persatuan Konsortium Rakaman Malaysia (IRAMA) membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasĀ  Datuk Seri Aliff Syukri.

Ini kerana usahawan kosmetik itu memuat naik klip video pendek lagu raya berjudul Cak Kun Cak Raya yang didakwa melanggar budaya dan tatasusila masyarakat malah menghina kemuliaan bulan Ramadan.

Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid berkata, gelagat ahli perniagaan itu bersama lima penari lain yang tampil berpakaian baju Melayu ketat dalam keadaan terkinja-kinja juga dilihat tidak sopan untuk dipertontonkan kepada umum.

Kata beliau, tindakan Aliff Syukri dan kumpulannya juga dianggap boleh merosakkan nilai dan tradisi baju Melayu.

“Justeru itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap video klip berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini bagi tindakan tegas diambil kepada mereka yang terlibat.

“Klip video berkenaan dilihat menyalahi undang-undang bukan saja pakaiannya menghina baju Melayu malah perlakuannya sangat keterlaluan,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi tengah hari ini.

Dalam pada itu, Ayob juga menambah, polis juga telah memintanya merujuk laporan tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sejawarnya.

Beliau akan menulis surat kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk mengadakan satu perjumpaan khusus membincangkan mengenai perkara itu dalam masa terdekat ini.

Ia bagi mendesak membuat pindaan Akta SKMM sedia ada kepada hukuman denda yang lebih tinggi dan penjara.

“Kalau kita lihat, banyak klip video lain seumpama pernah dikeluarkan pada tahun-tahun sebelum ini yang mana kandungan klip video yang keterlaluan dan menggusarkan orang ramai.

“Ini kerana hukuman denda sedia ada tidak begitu tegas menyebabkan orang lebih berani mengulangi perbuatan tersebut memandangkan hukuman denda kepada kesalahan mereka tidak tegas.

“Jika akta berkaitan dibuat pindaan untuk menambah nilai denda lebih tinggi dan hukuman penjara lebih berat, saya yakin jenayah seumpama dapat dikekang secara berkesan,” jelasnya.

Presiden Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Aliff Syukri berhubung muzik video bertemakan aidilfitri berjudul ‘Cak Kun Cak Raya’ di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2023.

Tegas Ayob lagi, dia juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan satu perbadanan khusus untuk memantau dan mengawal selia industri muzik di negara ini.

Katanya, perbadanan itu penting untuk mengawal selia industri muzik agar lebih tersusun seperti mana peranan yang dimainkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam memantau industri filem.

“Kami (IRAMA) telah lama memperjuangkan perkara ini sejak kerajaan terdahulu (zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad) lagi yang mana difahamkan, usul itu telah diluluskan oleh Parlimen namun sehingga sekarang tiada sebarang inisiatif ke arah itu sehingga kini.

“Sekurang-kurangnya kali ini wujudkan dulu satu jawatankuasa bersifat sementara untuk memantau industri muzik sehingga satu perbadanan tetap dimuktamadkan dan ditubuhkan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noordellhan Yahaya telah mengesahkan mengenai laporan polis yang diterima daripada IRAMA tengah hari tadi.

“Kes berkenaan akan diklasifikasikan sebagai rujuk kepada agensi lain (ROA) dan akan dirujuk kepada Kementerian Komunikasi dan Digital,” jelas beliau keitka dihubungii.-MalaysiaGazette