BALIK PULAU – Tindakan seorang lelaki dan wanita menyewakan akaun bank kepada sindiket yang menawarkan kerja sambilan menerusi platform e-dagang membawa padah selepas mereka diberkas polis kelmarin.
Suspek yang masing-masing berusia 50 dan 31 tahun itu ditahan secara berasingan di Jelutong serta Bayan Lepas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya susulan menerima laporan daripada mangsa pada 8 Mac lalu.
IPD Barat Daya dalam satu kenyataan di Facebook berkata, dua mangsa itu terperdaya dengan penipuan menawarkan kerja sambilan menerusi laman jualan Zalora dan urusan jual beli pakaian yang diiklan melalui laman Facebook.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kerugian antara RM7,234 hingga RM61,946.60 akibat diperdaya sindiket dengan memasukan wang ke dalam akaun dua suspek berkenaan.
“Susulan itu, pihak polis melakukan tangkapan ke atas dua suspek yang terlibat sebelum mendapati masing-masing merupakan keldai akaun.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, polis menasihati orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan seperti jual beli laman sosial, pinjaman atau pelaburan wang tidak wujud.
“Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan agar lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan sambilan atau di luar negara, macau scam, love scam atau parcel scam.
Semakan terlebih dahulu nombor akaun yang diberi juga boleh dibuat menerusi pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau selain memuat turun Aplikasi Google Play Store Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. – MalaysiaGazette