Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Malaysia telah menegaskan kepada China yang syarikat minyak dan gas negara, Petronas akan terus melaksanakan kerja-kerja cari gali minyak yang menjadi lokasi tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dinyatakannya kepada Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang dalam lawatannya ke Beijing baru-baru ini.

Anwar berkata, Malaysia menegaskan bahawa kawasan yang diteroka Petronas adalah wilayah berdaulat negara.

“Kedua-dua pihak ada tuntutan bertindih di Laut China Selatan terutama kebimbangan China kerana Petronas telah menjalankan kegiatan besar-besaran di kawasan yang turut dituntut oleh China.

“Saya sebuat perkara ini kepada Perdana Menteri Li Qiang dan Presiden Xi Jinping bahawa Malaysia anggap ini kawasan Malaysia dan Petronas akan cari gali di kawasan itu.

“Kalau negara China merasakan kawasan itu hak mereka kita boleh berunding. Namun usaha kita untuk cari gali akan diteruskan. Saya tak mahu mengelak daripada terus mengadakan rundingan kerana ini pendirian ASEAN,” katanya di Dewan Rakyat ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Mengenai dakwaan kehadiran kapal laut China di wilayah negara, Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Luar untuk membantah jika berlaku.

“Tentang kehadiran kapal China, seperti diterangkan oleh negara China adalah perairan antarabangsa.

“Kementerian Luar akan terus memantau jika ada pelanggaran akan membuat bantahan,” katanya.- MalaysiaGazette