Prof. Dr. Roziah Mohd Janor dan Wan Suraya Wan Mohd Radzi menandatangani MoU di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik merangkumi bidang latihan, pendidikan, penyelidikan, penerbitan serta program advokasi berfokuskan kepada integriti dan tatakelola.

Majlis menandatangani MoU tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr Roziah Mohd Janor dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Institut Integriti Malaysia, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Kolaborasi di antara dua institusi penting negara ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, khususnya dalam usaha meningkatkan iltizam dan komitmen warga institusi dalam membudayakan nilai ketelusan dan integriti.

Antara inisiatif yang akan memberi manfaat terbesar melalui usahasama ini adalah penglibatan mahasiswa UiTM di dalam Kajian Indek Persepsi Integriti dan Tata Kelola Mahasiswa yang merupakan antara intisari dalam MoU yang ditandatangani.

Kajian ini menjadi platform untuk mengenal pasti persepsi sekaligus mengukur tahap kesedaran pelajar berkaitan dengan integriti dan tata kelola baik di kalangan mahasiswa pendidikan tinggi awam.

Sebanyak lima indikator pengukuran digunakan untuk integriti dan lima indikator pengukuran untuk tata kelola merangkumi aspek ketelusan, akauntabiliti, kawalan, undang-undang, etika, kepimpinan, jati diri,
kerohanian dan juga budaya.

Melalui usahasama strategik ini juga, mahasiswa berpeluang untuk menjalani latihan industri di bawah program Professional Integrity Internship Program (PIIP) anjuran IIM, yang mana melalui program tersebut, mahasiswa UiTM akan dilibatkan secara langsung dengan aktiviti yang berteraskan integriti, di samping membina jaringan hubungan dengan rakan kerjasama dalam bidang berkaitan.

Penglibatan mahasiswa dan staf sebagai perintis terhadap pembangunan dan pelaksanaan Modul Integriti Mahasiswa adalah bertepatan dalam memperkemaskan inisiatif sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar kepada mahasiswa UiTM. Antara inisiatif tersebut adalah Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) dan Program Aspirasi DNA UiTM (PADU).

Penglibatan mahasiswa dan kakitangan UiTM akan turut memperkayakan ilmu dan kemahiran dalam ruang lingkup pengukuhan integriti dan tata kelola baik. Mendokong tema “great workforce for the future”, modul ini diharapkan dapat menyokong inisiatif ke arah membentuk individu yang berintegriti, berwibawa dan telus sekaligus memberi impak positif kepada lanskap kepimpinan generasi Malaysia pada masa hadapan.

Penglibatan staf UiTM selaku Panel Penilai dalam pelaksanaan Anugerah, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) bakal memberi nilai tambah kepada kualiti dan kepakaran staf UiTM dalam bidang berkaitan.

UiTM mempunyai sejumlah staf yang terlatih menjadi auditor, di mana sebahagian besarnya terlibat sebagai Auditor dalam Audit Pematuhan Etika yang dijalankan kepada PTJ di dalam UiTM. Pemerkasaan program-program yang dimeterai dalam MoU ini, akan memberi manfaat kepada pelajar dan staf khususnya dalam tiga aspek utama seperti pendidikan, advokasi dan latihan; penyelidikan dan penerbitan melalui kerjasama strategik yang terjalin ini. – MalaysiaGazette