Persekutuan Kecergasan Dunia (WFF) Malaysia telah menganjurkan satu majlis Anugerah Kecergasan yang penuh gilang-gemilang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 16 penggiat sukan telah mendapat penghargaan daripada Persekutuan Kecergasan Dunia (WFF) Malaysia dalam satu majlis anugerah gilang-gemilang yang berlangsung baru-baru ini.

Acara yang dikenali Majlis Anugerah Kecergasan Dewan Kemasyahuran WFF Malaysia itu bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada individu dan perniagaan yang telah memberikan sumbangan besar kepada industri kecergasan di negara ini.

Antara penerimanya anugerah adalan Graeme Lancefield yang juga Presiden Dunia Antarabangsa WFF sebagai Penyumbang Terhebat Sepanjang Masa dan Dr. Michael Poh Penyumbang Pembangunan Sukan Terbilang Tahunan.

Poh yang juga Presiden WFF Malaysia berkata, beliau kini bersedia untuk memimpin pasukannya ke tahap yang lebih tinggi dan akan meneruskan misi untuk memberi impak positif kepada dunia pada masa akan datang.

“Terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan WFF yang tidak berbelah bahagi  kepada  kepimpinan saya dan sekali lagi terima kasih atas penghormatan yang luar biasa ini.

“Saya terinspirasi dengan pengiktirafan ini dan saya berjanji untuk meneruskan misi kami dengan semangat dan keazaman yang diperbaharui dengan membuat perubahan dan membina dunia sukan  yang lebih baik untuk semua,” katanya.

Dr. Michael Poh (tengah).

Penerima lain adalah Presiden Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia, Krishna Kumar sebagai Penyumbang Pembangunan Sukan Yang Terbilang 2023 WFF Malaysia.

Kumar melahirkan rasa terharu kerana mendapat pengiktirafan itu selepas hampir 10 tahun berkorban masa, tenaga dan wang ringgit dalam sukan bina badan.

“Hampir 10 tahun menyumbang dalam dunia bina badan, saya berasa gembira dan terharu dengan anugerah.

“Ini kerana sepanjang 10 tahun menyumbang wang, masa dan tenaga, saya telah menganjurkan banyak kejohanan bina badan termasuk menjadi menjadi penaja dan bekerjasama dengan pelbagai pihak.

“Malah lebih istimewa, ia adalah kali pertama penggiat dalam sukan bina badan mendapat pengiktirafan dan saya berharap anugerah ini menjadi acara tahunan kerana ia mengiktiraf jasa semua pihak termasuk jurulatih, atlit, jurugambar dan krew yang terlibat dalam bidang sukan,” katanya yang Presiden Persekutuan Bina Badan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Krishna Kumar.