Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin (dua kari kanan) mengumumkan Dividen Simpan SSPN 2022 dan melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023

KUALA LUMPUR – Pemberian dividen sebanyak 3.05 peratus yang diumumkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini merupakan agihan lebih tinggi berbanding pada 2021 iaitu sebanyak 3.00 peratus.

Malah, ia menunjukkan pulangan pelaburan yang positif jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara antara 1.75 peratus hingga 2.75 peratus untuk tempoh Januari sehingga Disember 2022.

“Ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum diberikan kepada para pelanggan,” kata PTPTN menerusi kenyataan hari ini.

Menurut PTPTN, kadar dividen itu merupakan kadar yang kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di bank.

Katanya, bagi tahun 2022, keuntungan atau kadar faedah produk simpanan yang ditawarkan oleh bank tempatan adalah antara 2.05 peratus sehingga 2.75 peratus.

Justeru PTPTN berkata, kadar dividen tersebut merupakan kadar pulangan yang lebih menguntungkan dan akan menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kekal berdaya saing setanding produk-produk lain di pasaran.

PTPTN menjelaskan, tahun 2022 telah menyaksikan pencapaian Simpan SSPN yang membanggakan dengan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93 peratus berbanding sasaran sebanyak RM2.8 bilion.

Ujarnya, pencapaian tahun lepas menunjukkan peningkatan sebanyak RM350.55 juta atau 11.66 peratus berbanding tahun 2021 sebanyak RM3.01 bilion.

Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin (dua kari kanan) menunjukkan plakad dividen Simpan SSPN 2022 dan Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Keuntungan pelaburan deposit Simpan SSPN bagi tahun 2022 pula adalah berjumlah RM321.65 juta.

“Manakala, bagi pembukaan akaun baharu Simpan SSPN, sebanyak 491,984 akaun telah dibuka pada tahun 2022 berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun.

“Pencapaian ini adalah 123.00 peratus berbanding sasaran tahun 2022. Oleh itu, prestasi memberangsangkan ini menterjemahkan keyakinan dan sokongan para pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan,” katanya.

PTPTN menambah, sambutan masyarakat terhadap Simpan SSPN yang sangat menggalakkan turut disokong pelbagai keistimewaan dan manfaat yang ditawarkan melalui produk itu.

Paling menarik katanya, Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan
sehingga RM8,000 setahun.

Antara keistimewaan lain ialah perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah, jelasnya.

Dalam pada itu, PTPTN memaklumkan, pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 pada kadar satu peratus yang turut dilancarkan hari ini akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi bermula 5 April hingga 31 Julai ini.

Jelasnya, kempen itu layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 sehingga 31 Disember 2019. – MalaysiaGazette