Projek Bangunan Tambahan Blok Baharu Institut Endokrin di Hospital Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Hospital Putrajaya masih mampu menampung keperluan rawatan dan perubatan penduduk sekitarnya ketika ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, ini kerana penduduk sekitar juga boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang lain seperti Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah. Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berada dalam radius 15 kilometer dari hospital itu.

“Kadar penggunaan katil di Hospital Putrajaya ketika ini adalah sederhana iaitu pada sekitar 66 peratus berbanding kapasiti 605 buah katil  yang ada.

“Selain itu, nisbah katil bagi setiap 1,000 penduduk ialah 8.27 katil, jumlah ini melebihi purata 2.07 katil bagi seluruh Malaysia,” katanya di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi kementerian itu bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkenaan Hospital Putrajaya, terutama di Jabatan Kecemasan, yang dikatakan sesak.

Lukanisman berkata setiap cadangan dan isu yang diutarakan berkaitan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) akan diberikan pertimbangan sewajarnya, namun fokus ketika ini tertumpu kepada mengoptimumkan fasiliti sedia ada.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata kementerian itu menyasarkan pertambahan dua lagi hospital KKM yang menawarkan perkhidmatan geriatrik (penjagaan kesihatan golongan berusia) dalam tempoh lima tahun, sebagai tambahan kepada 16 buah hospital sedia ada.

“KKM juga ambil inisiatif melatih penjaga warga emas dan sejak tahun 2013, kita sudah mempunyai 19,792 penjaga warga emas yang terlatih,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu kekurangan perjawatan perkhidmatan kesihatan seperti jururawat yang turut dibangkitkan pada sesi perbahasan, Lukanisman berkata jumlah jururawat KKM pada dasarnya meningkat sebanyak 38 peratus berbanding 2012.

“Kita ada 69,608 orang jururawat terdiri daripada 97 peratus lantikan tetap…kita juga lakukan beberapa inisiatif untuk menambah (jumlah jururawat) dengan meningkatkan pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institusi Latihan KKM dan lakukan lantikan tetap berfasa selain tawar cuti bergaji penuh pada Jururawat Gred U19, 24 dan 26 bagi ikuti program Diploma Kejururawatan,” katanya.  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast