Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Terdapat pihak tertentu menggunakan isu perkauman untuk menakutkan kaum Melayu yang merupakan kumpulan majoriti di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff mendakwa pihak terbabit menggunakan isu tersebut setiap hari dengan mendakwa bangsa Melayu dan agama yang mereka anuti terancam.

“Sentimen sebegini jika diratibkan boleh menimbulkan ketegangan kaum. Negara kita telah melalui tragedi akibat ketegangan kaum ini seperti dalam peristiwa 13 Mei 1969, Memali 1985 dan Operasi Lalang 1986.

“Apakah kita mahu tragedi hitam politik negara tersebut berulang lagi? Tentunya tidakkan?” soal Mohammad Agus.

Beliau turut mengulas artikel dari Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bertajuk Empangan Murtad Bakal Pecah.

Kata Mohammad Agus, artikel berkenaan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.

Artikel itu antara lain menyatakan sejak kebelangan ini kedudukan Islam terancam kerana berikutan beberapa kes yang melibatkan kepentingan Islam telah difailkan di mahkamah.

Menurut artikel itu, sekiranya tuntutan berjaya, ia bakal menyaksikan semua mualaf yang diislamkan melalui prosedur dan enakmen-enakmen yang dicabar tersebut akan dimurtadkan secara besar-besaran.

“Statistiknya tidak dinyatakan. Berapa kes mahkamah? Apakah yang kerajaan atau bukan Melayu telah buat sehingga Islam dikatakan terancam?

“Tajuk empangan pecah pun menakutkan, digunakan semata-mata untuk membangkitkan emosi perkauman supaya orang Melayu menolak kerajaan sekarang yang didakwa tidak menjaga kepentingan Melayu dan Islam,” kata beliau.

Ketua Pengarah J-KOM itu menambah, reaksi pengomen yang menyokong artikel tersebut penuh emosi dan jelek.

Beliau mendakwa, pengomen antara lain meminta kerajaan melindungi agama bukannya ikut telunjuk kafir.

“Ada juga yang mendakwa kerajaan ini dengki terhadap kebangkitan Islam dan ini adalah tindakan pengkhianat negara.

“Lebih jauh lagi, ada yang bertanya di mana baginda raja. Akhirnya, mereka menyeru supaya orang Melayu bangkit kerana agama Islam terancam.

“Sebagai pelajar politik, saya menolak politik perkauman. Saya impikan bangsa Malaysia yang bersatu. Saya bosan dengan naratif politik yang menimbulkan kebencian sesama kita,” kata Mohammad Agus.

Serentak itu, beliau merayu golongan muda dan rakyat Malaysia yang mahu melihat negara maju supaya menolak sentimen kaum dan agama.

Menurut beliau sentimen yang disebarkan tanpa tanpa fakta dan data adalah pandangan kumpulan yang mindanya telah tertawan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nak ingatkan jkom jangan nak keliru fakta yang tak tapat TIADA andaian atau sangkaan jahat pihak tertentu PDRM perlu siasat KERAJAAN perlu adil dalam berkata-kata jangan di mulakan api perkauman

Comments are closed.