KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pembelaan mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mendapatkan laporan analisa forensik mengandungi perbualan WhatsApp berhubung wang RM2 juta.
Wang itu didakwa telah diterima Guan Eng melalui baucar pembayaran dan cek.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi ketika membacakan penghakiman berkata, berdasarkan nota prosiding dan penyataan bertulis saksi kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Guan Eng berjaya menunjukkan wujud fakta baucar dan cek digunakan untuk mengeluarkan wang itu.
RM 2 juta itu kemudian dikatakan diserahkan kepada ahli perniagaan, G Gnanaraja.
Kata Azura, keterangan juga menunjukkan terdapat perbincangan berhubung wang itu melalui perbualan WhatsApp antara Pengarah Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli Gananaraja.
“Terdapat laporan analisa forensik disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perbualan WhatsApp berkenaan.
“Berikutan itu, mahkamah berpuas hati terdapat dua versi keterangan berbeza di dua mahkamah berhubung tujuan penyerahan dan kepada siapa diserahkan wang RM2 juta membabitkan baucar pembayaran serta cek sama.
“Mahkamah mendapati perkara itu satu isu yang relevan seperti termaktub dalam Seksyen 5 dan 11 Akta Keterangan 1950. Jadi, fakta menyeluruh harus dibentangkan dan dikemukakan kepada mahkamah ini supaya kebenaran dapat diketahui,” katanya.
Jelas Azura, Guan Eng perlu mendapatkan laporan analisa forensik itu di mahkamah Shah Alam bagi menyediakan pembelaan yang adil.
“Pemohon berjaya menunjukkan kepada mahkamah kenapa laporan analisa forensik itu perlu dan penting kepada kes pembelaan dan permohonan mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah harus dibenarkan,” ujarnya.
Ketika ini, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan sedang berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu, dan kesalahan itu dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.
Pengerusi DAP itu juga turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. -MalaysiaGazette